Sunday, January 10, 2010

pengaruh globalisasi

perspektif akademik..

Microsoft Word - Borang Perjawatan A4.doc


Makalah ni ditulis bagi membincangkan peranan globalisasi sebagai dua proses yang saling berkontradiksi. Sememangnya diketahui dunia pada masa kini berada dalam situasi yang memerlukan setiap negara bergantung antara satu sama lain bagi menjalankan kegiatan ekonomi di peringkat global. Malahan bukan sahaja dalam kegiatan ekonomi bahkan jua dalam politik serta sosial. Melalui situasi dunia pada masa kini yang didalamnya wujud satu pengaruh yang kuat iaitu globalisasi yang sering dikaitkan dengan Barat dan dikatakan telah mendominasi dunia dari semua aspek iaitu ekonomi, politik, sosial dan teknologi. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa globalisasi ini mempunyai kebaikan dan keburukannya. Globalisasi dijadikan satu konsep penting yang dapat membantu kita memahami transformasi masyarakat dunia dengan menarik perhatian kita kepada perubahan asas yang sedang berlaku dalam era Perang Dingin (Ishak Shari 2000)

\ Globalisasi sememangnya diketahui merupakan satu medium atau ruang bagi mewujudkan hubungan antara setiap negara. Ada sesetangah pihak berpendapat bahawa globalisasi ini adalah satu medium atau platform yang digunakan oleh kuasa besar sebagai saluran dalam melebarkan sayap pengaruh mereka. Jika dilihat kebanyakan negara pada masa kini telah dipengaruhi oleh kuasa besar Barat terutamanya Amerika Syarikat tidak kiralah dari aspek ekonomi, politik dan sosial. Seperti yang diperkatakan tadi globalisasi mempunyai kebaikan dan keburukannya. Malahan di dalam makalah ini jua ada terselit serba sedikit mengenai keburukan dan kebaikan globalisasi. Globalisasi dikatakan telah muncul pada akhir abad ke 1989 yang mana pada ketika itu berlakunya satu peristiwa yang memberi impak kepada dunia iaitu robohnya Tembok Berlin yang selama ini menjadi lambang kekuatan regim Soviet pada ketika. Selepas berlakunya peristiwa besar itu dunia telah mula dipengaruhi oleh arus globalisasi yang didalamnya terdapat satu kuasa unipolar yang besar iaitu Amerika Syarikat.

Secara kronologinya bahagian pertama makalah ini akan menerangkan tentang maksud globalisasi melalui beberapa pentakrifan yang diberikan secara akademik. Bahagian ini penting bagi menerangkan tentang apa itu sebenarnya globalisasi sebelum pergi jauh kepada perbincangan utama bagi makalah ini iaitu tentang dua proses dalam globalisasi yang saling berkontradiksi. Perbincangan seterusnya akan diteruskan dengan menerangkan tentang beberapa aliran atau pendekatan teoritis yang terdapat dalam globalisasi. Tiga pendekatan utama iaitu juggernout, skeptik dan transformasionalis. Kemudiannya barulah dibincangkan tentang dua proses yang saling berkontradiksi yang menjadi subjek utama dalam makalah ini.

Pengakhiran makalah ini akan diakhiri dengan bahagian kesimpulan bagi menyatakan sama ada benarkah globalisasi itu merupakan dua proses yang saling berkontradiksi. Persoalannya di sini benarkah globalisasi itu merupakan dua proses yang saling berkontradiksi? Secara ringkasnya makalah ini akan membincangkan kesahihannya berdasarkan hujah-hujah daripada sarjana-sarjana yang mengkaji globalisasi ini yang dikatakan telah menjadi satu pengaruh besar dan kuat yang sedang menguasai dunia pada masa kini.

DEFINISI GLOBALISASI

Pelbagai pentakrifan diberikan bagi menerangkan definisi globalisasi. Bagi memahami apa itu globalisasi haruslah diketahui dahulu maksud atau definisi globalisasi. Berdasarkan Kamus Dewan globalisasi ditakrifkan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia yang disebabkan oleh kepantasan atau lajunya perkembangan teknologi maklumat. Menurut Robertson (1992) pula mendefinisikan globalisasi sebagai satu fenomena multidimensi yang meliputi aspek-aspek ekonomi, politik, ideologi dan budaya.

Manakala bagi seorang sarjana yang mengkaji globalisasi ini sejak mula kewujudannya iaitu Anthony Giddens (1989) pula mentakrifkan bahawa globalisasi ini merupakan satu hubungan sosial serata dunia secara intensif yang mana tindakan pihak tempatan ditentukan oleh peristiwa yang berlaku berbatu-batu jauhnya dan juga perkara di sebaliknya. Ada juga sarjana yang memberi pentakrifan berbeza mengenai globalisasi. Misalnya, Ishak Shari (2000)[1] memberi penakrifan bahawa globalisasi ini merupakan satu konsep yang bersifat pelbagai atau plural kerana globalisasi mempunyai dimensinya yang tersendiri dimana ianya merangkumi aspek-aspek ekonomi, politik, budaya, sosial dan ideologi.

Dalam satu pertubuhan iaitu United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD) pula mentakrifkan bahawa globalisasi merupakan satu keadaan dimana perusahaan-perusahaan dan institusi kewangan beroperasi secara transnational yang mana barang-barang faktor pengeluaran dan aset kewangan suatu negara dapat diperdagangkan dengan sempurna diseluruh dunia sehingga kita tidak mungkin lagi melihat negara sebagai satu entiti ekonomi yang berbeza dalam menetapkan dasar ekonomi negara secara otonomi dalam mewujudkan matlamat negara masing-masing.

Manakala bagi Hurrel & Woods (1995) memberi definisi bahawa globalisasi ialah satu proses peningkatan saling kebergantungan dan jaringan sosial yang berlaku akibat daripada wang, manusia, imej, nilai idea yang bergerak dengan begitu cepat dan lancar melangkaui sempadan negara. Friedman (1999) mentakrifkan globalisasi sebagai satu sistem dinamik yang berterusan iaitu terdapatnya integrasi pasaran, negara bangsa dan teknologi yang tidak dapat disekat hingga ke tahap tidak pernah dilihat sebelum ini melaluinya orang perseorangan, syarikat dan negara bangsa dapat berhubung ke serata dunia dengan lebih cepat, lebih jauh, lebih mendalam, dan lebih murah. Apa yang dapat disimpulkan di sini globalisasi merupakan satu konsep pengurangan kedaulatan negara, keterobosan sempadan, kecanggihan teknologi dan perkembangan transaksi perdagangan.

PENDEKATAN TEORITIS ATAU ALIRAN DALAM GLOBALISASI

Sememangnya diketahui di dalam sesebuah konsep itu pasti ada pendekatan-pendekatan teoritis yang wujud bagi mengkaji globalisasi ini. Terdapat tiga aliran atau pendekatan teoritis yang berpengaruh dan popular dalam menghujahkan konsep globalisasi ini. Tiga pendekatan teoritis utama ini ialah pendekatan juggernout atau tesis aliran hyperglobalis, pendekatan skeptik atau tesis aliran skeptik dan ketiga ialah pendekatan transformasionalis atau tesis aliran transformasionalis[2]. Bagi ketiga-tiga pendekatan ini masing-masing mempunyai hujahnya yang tersendiri dalam menerangkan peranan globalisasi yang sememangnya berpengaruh dan menguasai dunia termasuklah aspek-aspek seperti ekonomi, politik dan sosial serta tidak ketinggalan dari segi kemajuan teknologi juga.

Pendekatan Juggernout atau Tesis Aliran Hyperglobal

Pendekatan juggernout atau aliran hyperglobal ini juga dikenali sebagai tesis ’keras’ dimana aliran atau pendekatan ini menganjurkan dan mengagungkan keunggulan sistem pasran bebas. Menurut pelopor aliran ini, telah muncul satu ekonomi dunia yang benar-benar global bagi menguasai dunia dan disebabkan itu mereka menganggap bahawa ekonomi nasional dan strategi domestik dalam pengurusan ekonomi nasional tidak lagi penting. Ekonomi global pada masa kini telah didominasi oleh kuasa pasaran yang tidak dapat dan tidak perlu dikawal. Mereka juga menyatakan bahawa dalam ekonomi global faktor utama dan ejen perubahan paling penting ialah syarikat transnasional atau transnasional corporation yang mana telah diketahui hanya bermotifkan untung dan modal bukannya kepada bertujuan untung menguntungkan negara.

Syarikat-syarikat ini telah menempatkan operasinya di mana jua di dunia yang mereka anggap boleh memberikannya keuntungan dan kelebihan dalam persaingan pasaran dan mereka akan memindahkan ke lokasi lain sekiranya pertimbangan mengenai keuntungan yang akan diperolehi yang akan menyebabkan mereka memindahkan syarikat ke tempat lain. Bagi golongan aliran hyperglobalis ini globalisasi merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan oleh kerana dunia telah menjadi dunia tanpa sempadan negara bangsa tidak mempunyai fungsi dan sudah ketinggalan zaman. Mereka menghujahkan bahawa pada penghujung abad ke-20 dan abad ke-21 bukan lagi era bangsa-bangsa tetapi era region-state dan menganjurkan bahawa satu-satunya cara atau metod bagi negara mundur untuk mengatasi masalah mereka ialah dengan menyertai secara lebih mendalam dalam arus globalisasi. Ini akan menjsdikan mereka lebih terintegrasi dalam ekonomi global dan meningkatkan daya saing antarabangsa dan sebagainya.

Pendekatan Skeptik dan Tesis Aliran Skeptik

Tesis atau aliran ini juga dikenali sebagai pendekatan yang menolak globalisasi lebih-lebih lagi pandangan ’keras’ yang secara ekstrim menghujahkan bahawa globalisasi sesuatu yang tidak terelakkan dan harus menerima seperti sedia ada. Golongan skeptis menganggap globalisasi hanya satu mitos, tetapi satu mitos yang perlu. Mereka menegaskan bahawa apa yang terdapat di dunia hari ini bukannya globalisasi tetapi pengantarabangsaan (internationalisation) dan pelbagai negara lagi di dunia tetap beroperasi sebagai satu sistem negara yang menggerakkan hubungan antara negara atau antarabangsaan.

Golongan skeptis menganggap apa yang berlaku ialah proses pengantarabangsaan bukannya globalisasi yang hanya perlu satu mitos. Walaubagaimanapun mereka mengakui globalisasi merupakan satu bentuk mitos yang perlu keran ianya digunakan untuk menyakinkan pelbagai negara dan pihak lain di dunia supaya menerima globalisasi sebagai sesuatu yang tidak terelakkan.

Pendekatan Transformasionalis atau Tesis Aliran Transformasionalis

Tesis lembut ini atau pendekatan aliran transformationalis iaitu aliran pemikiran teoritis yang menganggap bahawa globalisasi sebagai satu proses yang benar-benar berlaku dan menjadi kenyataan serta mencirikan dunia dewasa ini. Keadaan ini dimungkinkan oleh pemampatan masa dan ruang dalam hubungan sosial yang kepesatan dan kedalamannya belum pernah terjadi dalam sejarah. Di samping itu, terdapat pula kesedaran global mengenai pemampatan tersebut. Golongan ini berpendirian bahawa globalisasi ialah satu frasa baru dalam sejarah modal yang rangkaiannya membawa pelbagai masyarakat yang berbeza di dunia ke dalam satu sistem yang sama. Tesis ini menganggap memang benar terdapat pemindahan modal, buruh, maklumat dan pengetahuan di peringkat global yang mendorong arus kuat integrasi aktiviti ekonomi secara sejagat.. Apa yang sebenarnya berlaku bukanlah semata-mata pengantarabangsaan seperti yang dihujahkan oleh tesis skeptis tetapi pengglobalan.

Aliran ini juga berpendapat bahawa globalisasi bukan semata-mata melibatkan pergerakan modal dan kewangan tetapi juga melibatkan integrasi politik dan sosial yang berasaskan pergerakan kuasa pasaran. Fenomena ini dimungkinkan oleh kemunculan begitu banyak syarikat TNC atau syarikat transnasional yang besar. Aliran transformasionalis ini mengakui bahawa globalisasi sememangnya berlaku dan negara bangsa sebagai unit politik semakin dipinggirkan. Oleh yang demikian aliran ini menganggap globalisasi bukan satu proses yang melahirkan penyeragaman sepenuhnya kerana terdapat perlawanan oleh negara dan juga oleh aktor bukan negara di peringkat dalam negeri dan juga antarabangsa terhadap proses tersebut.

GLOBALISASI SEBAGAI DUA PROSES YANG SALING BERKONTRADIKSI

Globalisasi sememangnya merupakan satu konsep yang dunia pada hari bergantung kepadanya. Globalisasi di dalamnya terdapat dua proses yang dikatakan saling berkontradiksi dan mempunyai prosesnya yang tersendiri. Dua proses tersebut ialah penyamarataan dan pembezaan identiti atau diferensisasi. Penyamarataan ialah satu proses dimana globalisasi menghasilkan satu dunia yang semakin seragam atau sama rata dari segi ekonomi, politik, sosial dan budaya serta teknologi. Manakala pembezaan identiti atau diferensisasi merupakan satu proses yang melawan atau mengadaptasi dengan proses penyeragaman atau penghomogenan yang dilakukan oleh proses penyeragaman. Oleh hal yang demikian, kedua-dua proses ini dikatakan saling berkontradiksi atau berlawanan antara satu sama lain serta dua proses ini tidak dapt dielakkan.

PENYAMARATAAN ATAU PENYERAGAMAN

Proses penyamarataan seperti yang diperjelaskan tadi merupakan satu proses dalam globalisasi yang menghasilkan satu dunia yang semakin seragam atau sama rata dari segi ekonomi, politik, sosial dan budaya serta teknologi. Proses penyeragaman ini penting bagi merealisasikan matlamat yang ditetapkan oleh pihak yang cuba menyebarkan pengaruh globalisasi ini.

Penyeragaman atau penyamarataan dalam ekonomi

’The world is becoming a global shopping mall in which ideas and products are avalaible everywhere at the same time’-

(Rosabeth Moss Kanter 1995)

Kata-kata diatas menerangkan bahawa dunia pada masa kini sememangnya telah menuju untuk menjadi sebuah gedung di mana gedung ini menghasilkan idea dan produktiviti dan mampu diperolehi di semua tempat. Ini dikaitkan dengan situasi pada masa kini yang mana dunia pada masa kini bergantung kepada arus globalisasi yang menyediakan pelbagai keperluan bagi penduduk dunia. Hal ini demikian kerana terdapat usaha untuk membuka seluas-luasnya pasaran kewangan dan pelaburan serta meruntuhkan pelbagai tembok yang dianggap penghalang kepada liberalisasi kewangan, pasaran bebas didukung supaya ia berkembang tanpa sekatan dan ini dikatakn cekap, rasional dan berautonomi.

Proses penyamarataan ini berlaku melalui peranan organisasi antarabangsa misalnya WTO (World Trade Organization)[3], IMF (International Monetary Fund)[4] dan AFTA (Asean Free Trade Areas)[5] di mana negara-negara yang terlibat perlu melakukan perjanjian yang ditandatangani beberapa buah negara dalam perdagangan. Perjanjian ini akan membentuk satu dasar di mana setiap negara yang menandatangani perjanjian akan disamaratakan cukai dan tarif negara yang terlibat dalam perjanjian. Pihak kapitalis Barat dilihat sebagai pendominasi perdagangan dan kewangan antarabangsa yang lebih cenderung ke arah kekayaan secara individu dan mengidamkan gaya hidup yang mewah. Dalam proses penyamarataan ini, proses ini mewujudkan keadaan ekonomi yang terbuka dan saling kebergantungan (interdependence) antara negara wujud melalui perdagangan bebas, pelaburan asing secara langsung dan pelaburan portfolio.

Penyeragaman atau penyamarataan dalam politik

Dalam proses penyeragaman atau penyamarataan ini terdapat cubaan untuk menyeragamkan bentuk pemerintahan di seluruh dunia. Sememangnya globalisasi menyalurkan sebuah idea mengenai demokrasi dan hak asasi manusia yang dianggap prinsip sejagat yang mesti diterima oleh masyarakat dunia yang diterajui oleh Amerika Syarikat sebagai sebuah kuasa dunia yang terkuat di dunia (Abdul Rahman Embong 2000). Amerika Syarikat menjadikan globalisasi itu sebagi satu medium untuk menyalurkan idea demokrasi dan kesan daripada itu wujudlah satu istilah yang digelar ’Americanization’.

Proses penyamarataan dalam politik wujud dalam bentuk kerjasama. Kerjasama dalam proses penyamarataan atau penyeragaman wujud bagi menyelesaikan masalah yang berlaku dalam dunia hari ini. Melalui globalisasi, masalah dikatakan bukan lagi pada sesebuah pihak atau satu negara tetapi keputusan bagi menyelesaikan masalah dilakukan secara bersama dan melibatkan satu dunia. Kerjasama ini wujud apabila berlakunya beberapa krisis atau masalah dalam dunia. Antaranya ialah masalah berkenaan alam sekitar, keselamatan negara dan lain-lain lagi. Secara ringkasnya proses penyamarataan dalam politik merupakan analisis berteraskan negara mengenai integrasi masyarakat dunia ke dalam satu sistem ekonomi dan politik global yang diketuai oleh satu kuasa utama. Misalnya dunia pada masa kini yang diketuai oleh satu kuasa unipolar iaitu Amerika Syarikat seperti yang telah dijelaskan tadi.

Penyeragaman dan penyamarataan dalam sosial atau budaya

Dari segi penyamarataan dalam budaya pula, terdapat penyebaran budaya konsumer Amerika Syarikat ke seluruh dunia melalui makanan, pakaian dan budaya seperti Mcdonald, Pizza, Coca Cola, Pepsi dan lain-lain. Selain itu terdapat juga trend dimana dunia dipengaruhi oleh fesyen ala kebaratan dan menjadi ikutan pada hari ini. Pengaruh budaya ini dilihat juga disebabkan oleh pihak kapitalis Barat kerana perubahan dunia kini dilihat ke arah pembaratan atau istilah yang sering digunakan dan telah dinyatakan sebelum ini iaitu proses ’Americanization’. Pengaruh globalisasi juga menyebabkan tersebarnya penyeragaman yang membentuk satu budaya baru yang digelar budaya kosmopolitan iaitu dimana masyarakat yang hidup dalam budaya kosmoplitan masih mengamalkan budaya atau cara hidup tempatan tetapi pemikiran mereka lebih terarah kepada global yang mana mereka lebih bersifat terbuka dan memikirkan kebajikan mereka sahaja. Proses sosio-budaya yang berteraskan kepada konsep ’satu dunia’ menyebabkan berlakunya pergerakan globalist warganegara dunia.

Makalah ini mengambil contoh dimana dalam penyebaran budaya konsumer Amerika Syarikat berlakunya satu proses yang dipanggil Mcdonaldisation of Society (Abdul Rahman Embong 2000). Hal ini demikian kerana Mcdonald dikatakan smenjadi lambang bagi memaksudkan keseluruhan budaya konsumer tersebut. Istilah digunakan bagi merujuk kepada proses penyebaran budaya konsumer oleh syarikat-syarikat transnasional dunia. Perluasan pasaran ekonomi bebas yang ditunjangi oleh TNC dan juga sistem politik demokrasi liberal ala-Barat tidak lengkap sekiranya ia dibatasi kepada bidang ekonomi dan politik sahaja. Oleh itu, penyebaran bagi membentuk penyeragaman harus diperluaskan kepada kehidupan dan pemikiran supaya sistem ekonomi dan politik tersebut menjadi satu norma yang diterima tanpa soal. Bagi menzahirkan matlamat itu, budaya konsumer ini harus diperluaskan sebaik mungkin supaya ianya akan melahirkan penyeragaman budaya khususnya dari segi gaya hidup. Proses penyeragaman ini jika dilihat pada masa kini hampir berlaku di seluruh dunia walaupun masih ada segelintir pihak yang tidak dapat menerima dengan baik hasil daripada proses penyeragaman dalam globalisasi ini.

Penyeragaman atau penyamarataan dalam teknologi

Teknologi sememangya diketahui merupakan salah satu faktor utama yang menjadi antara pendorong kepada berlakunya proses dalam globalisasi. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menggalakkan rangkaian global dalam sesebuah negara dengan negara yang lain. Penggunaan media telekomunikasi seperti internet dan televisyen dikatakan menjadi platform penting bagi melancarkan proses penyamarataan berlaku. Kesan daripada itu wujudlah satu konsep yang dikenali sebagai proglobalis iaitu satu konsep yang menjadi medium bagi menyebarkan budaya sehingga ada pihak yang menyatakan wujudnya perkampungan global. Marshall Mcluhan (1960 an) ada memberi definisi tentang perkampungan global iaitu:

’ transendence of contraints of phisycal place enabled by new communications technologies that

allow instant, inexpensive global communication’

(Marshall Mcluhan 1960-an)

Kata-kata ini menjelaskan mengenai perkampungan global iaitu satu proses transendesi terhadap keadaan fizikal sesebuah tempat yang mampu diubah melalui teknologi komunikasi dan membenarkan proses penyeragaman berlaku dengan lebih cepat dan murah untuk menghasilkan komunikasi global yang baik. Hal ini demikian kerana dunia hari ini menjadikan internet sebagai satu ruang umum kepada masyarakat awam untuk membahaskan isu-isu dunia dengan bebas tanpa kawalan kerajaan dan institusi yanbg lain melalui email dan laman interaktif seperti Myspace, Friendster, blogs, Facebook dan lain-lain. Kemajuan dan penyamarataan dalam teknologi ini dikatakan menjadi salah satu asas kepada demokrasi kerana wujudnya keterbukaan untuk masyarakat membahaskan mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan kebajikan mereka dan mereka. Media-media interaktif seperti ini dijadikan sebagai satu medium untuk mereka menyuarakan pendapat mereka mengenai dasar-dasar yang telah dilakukan oleh kerajaan. Friedman (1999) berpendapat bahawa proses penyeragaman dalam teknologi ini berlaku apabila berlakunya perubahan dalam metod berkomunikasi antara satu sama lain iatu apabila berlakunya penciptaan telefon dalam kereta lalu beliau membentuk satu konsep kesan daripada proses penyeragaman atau penyamarataan iaitu pendemokrasian dalam teknologi or democracy in technology[6].

PEMBEZAAN IDENTITI ATAU DEFERENSISASI

Sememangnya diketahui bahawa pembezaan identiti merupakan salah satu daripada proses yang terdapat dalam globalisasi selain daripada proses penyeragaman. Proses pmbezaan identiti secara konseptualnya merupakan satu proses yang berlawanan atau mengadaptasi dengan proses penyeragaman atau penghomogenan. Proses ini dikatakan saling berkontradiksi dengan proses penyeragaman yang mana proses pembezaan ini juga wujud dalam pelbagai aspek iaitu aspek ekonomi, politik, sosial atau budaya dan teknologi. Pembezaan ini dikatakan wujud kesan daripada proses penyeragaman itu tadi yang berkontradiksi antara satu sama lain.

Pembezaan identiti atau deferensisasi dalam ekonomi

Dalam aspek ekonomi pula wujud usaha untuk memperkembangkan dan memperluaskan pasaran kewangan dan pelaburan serta berusaha untuk pelbagai tembok yang menjadi penghalang dalam usaha melebarkan dakyah proses penyeragaman dalam globalisasi. Sememangya diketahui pengaruh globalisasi menganjurkan sitem ekonomi kapitalis lanjutan daripada ideologi liberal yang mendukung pasaran bebas sebagai satu pasaran yang dianggap cekap, rasional dan mempunyai autonominya teresendiri. Pihak-pihak yang memperjuangkan ideologi liberalisme sebagai satu ideologi yang utuh telah berusaha sedaya upaya supaya sistem ekonomi kapitalis menjadi sebuah sistem ekonomi yang digunapakai di seluruh dunia. Hal ini terbukti pada masa kini dunia menganjurkan sistem ekonomi kapitalis atau pasaran bebas (free trade) sebagai sistem ekonomi global.

Namun disebalik usaha untuk meluaskan pasaran bebas itu ke serata dunia terdapat pula usaha untuk mendirikan tembok bagi mejaga kepentingan ekonomi domestik dan bertentangan dengan proses penyeragaman itu tadi. Dalam arus globalisasi kesan akibat daripada proses penyeragaman menyebabkan wujudnya proses pembezaan identiti atau deferensisasi dimana terdapatnya jurang ekonomi yang besar antara negara kaya (negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis) dengan negara miskin yang rata-rata penduduknya memiliki pendapatan perkapita yang rendah. Negara yang miskin atau negara sedang membangun terpaksa menggubal undang-undang atau dasar-dasar yang memihak kepada negara kaya yang bersetentang dengan dasar-dasar ekonomi yang ditetapkan oleh pihak mereka sendiri. Hal ini demikian kerana peraturan atau dasar global ini dilihat mengenepikan masyarakat di negara-negara miskin. Mengapa pembezaan identiti atau deferensisasi dalam ekonomi ini berlaku? Hal ini disebabkan oleh kemasukan syarikat multinasional atau multinasional corporation (MNC) ke negara-negara miskin untuk menjalankan operasinya yang menyebabkan sesebuah negara yang MNC melakukan pelaburan modal terpaksa membentuk satu polisi baru yang dikehendaki oleh pihak MNC yang sememangnya diketahui mempunyai matlamat untuk menghasilkan untung yang maksimum (maximum of profit). Melalui cubaan mereka untuk merealisasikan matlamat mereka telah mengambil pendekatan yang dikatakan menindas golongan pekerja bawahan iaitu mengurangkan kos pengeluaran dengan mengurangkan gaji pekerja. Kesannya dapat dilihat berlakunya proses pembezaan dimana wujud ketidakseimbangan dalam jurang pendapatan rakyat di negara tersebut dan negara kaya terus kaya manakala negara miskin terus miskin bertentangan dengan matlamat asal untuk memajukan ekonomi sesebuah negara. Ini yang diperjuangkan oleh sessetengah kumpulan yang menentang penyebaran pengaruh globalisasi ke seluruh dunia yang menyebabkan jurang pendapatan antara golongan kaya dengan miskin menjadi lebih besar.

Pembezaan identiti atau deferensisasi dalam politik

Proses pembezaan identiti wujud dan berkontradiksi dengan proses penyeragaman atau penyamarataan melalui idea demokrasi yang dicanangkan oleh kuasa besar dunia pada masa kini iaitu Amerika Syarikat. Idea atau sistem pemerintahan yang berbentuk demokrasi ini telah mencetuskan perlawanan dan pembezaan di setiap atau pelbagai pelosok dunia. Hal ini demikian kerana terdapat negara-negara yang cuba mentakrif semula idea demokrasi dan hak asasi manusia supaya mengikut tempat atau negara masing-masing. Misalnya nilai Asia, demokrasi ala Malaysia dan hak komuniti atau masyarakat mengatasi individu diketengahkan dengan alasan kita sepatutnya melakukan perubahan ini mengikut acuan sendiri dan tidak sepatutnya dilakukan mengikut acuan Barat.

Proses pembezaan dalam globalisasi yang kontra dengan proses penyeragaman ini tidak berhenti setakat itu. Bahkan melalui proses pembezaan ini juga menyebabkan wujud gerakan masyarakat sivil yang mendesak pembentukan dan perluasan demokrasi dari bawah iaitu dari dari golongan bawahan dan golongan kelas menengah. Gerakan masyarakat sivil ini berpendirian kritis terhadap idea demokrasi dan hak asasi manusia sejagat yang dipropagandakan oleh kuasa besar Barat. Selain itu juga, gerakan masyarakat sivil ini juga mempunyai matlamat untuk mendedahkan sikap dan amalan double standard kuasa-kuasa tersebut terutamanya Amerika Syarikat mengenai idea demokrasi dan hak asasi manusia yang diketengahkan oleh mereka. Tetapi gerakan-gerakan sivil ini juga berhati-hati dan mempunyai pandangan kritis terhadap agenda politik negara bukan Barat yang menjadikan hujah ’mengikut cara tersendiri’ sebagai alasan untuk melaksanakan bentuk pemerintahan autoritarianisme dalam negeri yang mengekang perkembangan masyarakat sivil dan kebebasan yang sepatutnya dinikmati oleh warganegaranya. Gerakan masyarakat sivil yang wujud akibat daripada globalisasi melalui proses pembezaan ini juga menyatakan pandangan mereka bahawa globalisasi telah menyebabkan berlakunya pertambahan dalam migrasi buruh ke negara sedang membangun danmaju akibat daripada pelaburan yang dilakukan oleh syarikat multinasional atau multinasional corporation(MNC) dan syarikat transnasioanl atau transnasional corporation (TNC) melalui operasi mereka di negara-negara yang dipilih.

Pembezaan identiti atau deferensisasi dalam sosial atau budaya

Dalam globalisasi juga terdapat proses pembezaan dalam sosial yang melibatkan budaya, agama dan peradaban. Penyebaran budaya konsumer yang rata-ratanya mempengaruhi dunia dengan proses Mcdonaldisation of society yang menjadi taruhan dalam usaha untuk mempengaruhi kehidupan dan pemikiran telah mencetuskan pembezaan dan bahkan perlwanan terhadap proses penyeragaman sosial. Proses pembezaan yang terdapat dalam globalisasi ini mengambil bentuk usaha menegaskan semula budaya dan identiti sendiri iaitu dengan menggali budaya transnasional dan juga merekacipta tradisi. Proses pembezaan ini juga telah melahirkan satu gerakan revivalisme udaya dalam pelbagai ragam dan bentuk di kebanyakan negara di dunia. Gerakan revivalisme ini menentang penyebaran budaya konsumerisme yang dikatakan telah mencacatkan budaya di sestengah tempat atau negara. Hal ini demikian kerana golongan revival ini mempunyai matlamat untuk mengekalkan budaya di tempat masing-masing melalui penentangan keras terhadap budaya konsumerisme yang disebarkan melalui globalisasi.

Proses pembezaan tidak terhenti setakat itu sahaja bahkan dari aspek keagamaan dan peradaban juga wujud usaha untuk memperkembangkan nilai-nilai agama. Usaha untuk memperkembangkan nilai-nilai kebangkitan agama ini diwujudkan melalui gerakan ’pemurnian’ hidup bagi mengelak daripada pengaruh sekularisme yang sememangnya sinonim dengan Barat. Misalnya wujud gerakan Islam di seluruh dunia yang menganjurkan Islam sebagai addin atau cara hidup bukannya sebagai satu kepercayaan semata-mata. Ini penting bagi mengekang kemaraan pengaruh sekularisme yang menjadikan globalisasi sebagai platform atau medium untuk menyebarkan fahaman mereka daripada terus cuba untuk mempengaruhi pemikiran umat Islam.

Pembezaan identiti atau deferensisasi dalam teknologi

Proses pembezaan identiti atau deferensisasi dalam teknologi berlaku dan berlawanan dengan proses penyeragaman. Hal ini demikian kerana dalam perkongsian teknologi terutamanya dalam perkongsian teknologi maklumat dan komunikasi memudahkan lagi perhubungan antara sesebuah negara dengan negara yang lain. Proses pembezaan ini berlaku apabila matlamat untuk berlakunya perkongsian teknologi ini tidak tercapai. Hal ini demikian wujud pihak yang cuba untuk memprovokasi pihak lain supaya pihak yang memiliki keupayaan teknologi tersebut tidak tergugat dalam kemajuan teknologi. Misalnya jika dilihat dunia pada hari ini wujud kawalan teknologi ke atas sesebuah negara seperti China. Seperti yang diketahui China merupakan salah satu daripada kuasa besar di dunia yang pengaruhnya semakin utuh. Kapitalis Barat iaitu terutamanya pihak Amerika Syarikat dikatakan tidak mahu menjual teknologi kepada China dan dengan itu China telah mengambil inisiatif sendiri untuk menghasilkan teknologi. Hal ini menunjukkan proses pembezaan identiti berlaku apabila adanya teknologi lain selain daripada teknologi yang disalurkan oleh Barat. Ini menyebabkan wujud proses pembezaan identiti dalam teknologi. Amerika Syarikat mengetahui bahawa China mempunyai struktur ekonomi yang kukuh tidak mustahil China mampu untuk maju dalam teknologi. Amerika Syarikat sememangnya akan cuba sedaya upaya untuk menyekat kemaraan China dan ini menyebabkan deferensisasi itu berlaku dalam kemajuan teknologi.

KESAN GLOBALISASI

Globalisasi sememangnya diketahui mempunyai kesannya sama ada baik atau buruk. Kesan globalisasi ini akan diterangkan secata umum melibatkan kebaikan dan keburukan globalisasi terhadap aspek ekonomi, politik dan sosial. Secara umumnya dapat dilihat kesan globalisasi terhadap aspek-aspek ini.

Ekonomi

Kesan globalisasi terhadap aspek ekonomi dapat dilihat apabila globalisasi menyumbang kepada perkembangan ekonomi melalui sistem ekonomi yang berdasarkan kepada pasaran bebas atau free trade. Selain itu, proses globalisasi juga menyumbang kepada penggunaan teknologi baru dalam pengeluaran khususnya dalam sektor perindustrian dan mewujudkan persaingan antara pengusaha-pengusaha tempatan dengan pelabur asing. Walaupun pada asalnya globalisasi mewujudkan persaingan antara pengusaha tempatan dengan pelabur asing tetapi sebaliknya berlaku apabila wujud pendominasian daripada pelabur modal asing. Hal ini demikian kerana keupayaan bagi pemodal tempatan untuk melabur adalah rendah berbanding pelabur modal asing. Manakala sistem ekonomi yang berdasarka pasaran bebas ini memberi kesan yang sebaliknya apabila negara kaya mengeksploitasi negara miskin bagi memperoleh untung yang maksimum.

Politik

Kesan globalisasi terhadap aspek politik pula dapat dilihat apabila kerajaan melakukan perubahan dan menggubal dasar-dasar yang bersesuaian dengan perdagangan antarabangsa untuk memperoleh faedah daripada aktiviti perdagangan antarabangsa yang dilakukan dengan negara lain. Tetapi dalam masa yang sama kesan daripada globalisasi juga menyebabkan kerajaan terpaksa menggunakan kos yang banyak dalam menangani masalah migrasi yang datang ke negara secara haram untuk memperoleh pekerjaan serta kerajaan juga perlu menyediakan dana bagi menyelesaikan kes-kes yang berkaitan dengan isu sosial yang mampu menggugat ketenteraman awam. Kesan globalisasi yang baik juga dapat dilihat apabila wujud hubungan diplomatik antara negara dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan kawasan serantau atau lain-lain.

Sosial

Melalui aspek sosial pula dapat dilihat bahwa globalisasi memberi kesan apabila globalisasi membawa pengaruh budaya Barat yang menyebabkan berlakunya pencampuran budaya di mana budaya Barat ini sememangnya bertentangan dengan budaya asli sesebuah negara atau tempat. Selain itu, kesan globalisasi terhadap aspek sosial ialah berlakunya peningkatan migrasi pekerja dari luar iaitu migrasi pekerja asing ke negara-negara membangun di dunia termasuklah Malaysia.Kesan daripada berlakunya proses migrasi itu menyebabkan berlakunya penularan wabak-wabak penyakit khususnya wabak penyakit pandemik yang mampu mengancam keselamatan penduduk di sesbuah tempat atau negara.

KESIMPULAN

Secara ringkasnya jelaslah bahawa globalisasi ialah dua proses yang saling berkontradiksi. Berdasarkan perbincangan dalam makalah ini dua proses globalisasi yang saling berkontradiksi tersebut ialah proses penyeragaman atau penyamarataan dan proses pembezaan identiti. Melalui kedua-dua proses ini dapat ditunjukkan dengan jelas bagaimana berlakunya usaha menyebarkan pengaruh globalisasi ke serata dunia dengan ada pihak yang menyatakan globalisasi cuma dijadikan sebagai medium atau ruang bagi kuasa-kuasa besar Barat melebarkan sayap pengaruhnya ke seluruh dunia terutamanya negara-negara Asia Timur. Sememangnya globalisasi merupakan satu proses berbentuk sejagat. Oleh itu, usaha penting harus dilakukan bagi meneliti peranan globalisasi sebenarnya dengan kritis dan memberi input daripada perspektif yang sesuai dalam membincangkan apa itu globalisasi. Akhir sekali, sememangnya globalisasi merupakan dua proses yang saling bertentangan dan berkontradiksi kerana terdapatnya proses yang menyamaratakan masyarakat global dan juga membezakan masyarakat.




1 comments:

Usop Ccopper said...

hey ni lgu per??

Post a Comment

halwa telinga