Wednesday, February 9, 2011

JURANG PEMISAH ANTARA CENDEKIAWAN ULAMA DAN ORANG AWAM

Jurang pemisahan dikalangan cendekiawan ulama dan orang ramai sudah menjadi kenyataan semenjak abad ke 11 Masihi. Hujjatul Islam, Imam Al- Ghazzali telah menulis sebuah makalah mengenai perkara tersebut iaitu Iljam al-‘Awam ‘an ilm al-Kalam yang bermaksud menegah orang awam dari ‘ilm al-kalam bagi menjelaskan kedudukan ini. Di dalam karyanya itu, beliau menyatakan bahawa orang awam tidak harus terlibat di dalam perdebatan teologi yang mendalam keranan keadaan ini mampu membentuk kekeliruan fikiran dikalangan mereka. Hujah yang diberikan oleh beliau itulah adalah disebabkan berkemungkinan orang awam akan tersalah faham mengenai sifat-sifat Tuhan melalui interpretasi falsafah.
Pendapat ini juga pernah dikemukakan oleh seorang sarjana Islam dengan laras nada hujah yang sama bunyinya dengan Al-Ghazzali, Ibn Tuyfal yang hidup di Sepanyol dan Afrika Selatan pada abad ke-12 Masehi, telah menulis sebuah buku filsafat yang bertajuk Hayya Ibn Yaqzan yang mana karya ini menceritakan mengenai kisah seorang kanak-kanak lelaki yang telah dibesarkan oleh seekor kijang di sebuah pulau yang tidak didiami manusia. Kanak-kanak itu dengan menggunakan akalnya, akhirnya beliau mampu mencapai kebenaran yang menyatakan wujudnya pencipta atau penjadi alam ini. Kisah ini, walau bagaimanapun, mengimplikasikan bahawa orang awam tidak berupaya untuk memahami kebenaran ( al-haqq) secara falsafah sahaja. Justeru untuk itu, bentuk kebenaran yang mereka perolehi adalah secara mudah, dan dari sini semakin jelaslah kepada kita bahawa pemisahan di antara dua lapis masyarakat ini iaitu pemisahan antara golongan cendekiawan ulama dan orang awam semamngnya berlaku. Namun begitu, persoalan dibenak yang sentiasa berlegar didalam fikiran setiap individu yang melihat pemisahan ini secara eksternal, bagaimana harus disampaiakn ilmu yang didapati oleh golongan cendekiawan ini kepada orang awam seandainya masih ada pemisahan doktrin sosial dan tahap ilmu?dan bagaimana juga matlamat untuk melahir dan mewujudkan intelektual Muslim yang progresif dan dinamik pemikirannya seandai masih ada pemisahan struktur masyarakat ini?Justeru itu, peranan Al-Imam Ghazzali dalam soal pemisahan ini mampu menjelaskan lagi mengapa wujudnya jurang pemisahan ini.
Imam Ghazzali pada hayatnya telah dilantik sebagai seorang Profesor di Institusi Nizamiyyah di Baghdad dan kemudiannya dalam tahun 1905 M, beliau telah meninggalkan jawatan tersebut keranan menginginkan kehidupan sebagai seorang ahli sufi. Antara sebab perletakan jawatan beliau ialah kerana beliau ini menjauhkan diri dari pengaruh material (kebendaan) dan pangkat duniawi kerana khuatir dirinya akan terjerumus ke lembah materialistic duniawi yang pada masa itu sedang menjadi barah dikalangan kebanyakan ulama. Pada masa yang sama juga, beliau berpendapat bahwa kebayakan ulama yang memegang kedudukan tinggi tidak berupaya menunjukkan kepada orang awam tentang martabat aqidah yang mendalam. Faktor lain juga yang dikemukaan oleh Imam Al-Ghazzali ialah mengenai ‘para ulama’ yang mahu menjaga keistimewaan ( priveleges) yang diberikan kepada mereka oleh pemerintah. Bagi menjaga keistimewaan yang telah diberikan tadi, mereka adakalanya terpaksa akur dan mematuhi kehendak pemerintah sama ada secara rela atau paksa. Imam Al-Ghazzali merasakan bahawa, setiap pengiktirafan yang dibuat atau diberikan oleh mana-mana pihak pemerintah terhadap ulama sedemikian tidak akan merugikan pihak dirinya sendiri, kerana menurut beliau seorang ulama (qadi umpanya) yang pada awalnya telah diserapkan dengan keistimewaan yang diberikan oleh pemerintah telah tenggelam dengan agenda golongan pemerintah itu dan justeru itu, agak sukar bagi mereka untuk menentang pemerintah disebabkan oleh perasaan terhutang budi kepada pemerintah. Justeru itu, sering kali kita dengari bahawa wujudnya tekanan ( pressure) yang dikenakan ke atas sebilangan ulama di merata-rata tempat pada setiap masa.
Disebalik kewujudan tekanan dari atas, tidak menghairankan jika di sana terdapat pandangan umum yang diterima menyatakan bahawa penerimaan ‘perlantikan’ qadi atau mufti dari pemerintah yang zalim telah dianggap suatu bentuk penghinaan. Pandangan ini menggambarkan kesetiaan utama para ulama hanyalah untuk menyebarkan kebenaran Illahi keranan penerimaan jawatan dari pemerintah mampu mengkompromikan kesetiaan ini. Satu contoh yang paling menarik mengenai keengganan menjual kebebasan dan moral integrasi kepada pemerintah telah dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hambal. Peristiwa ini dikenali sebagai Minha atau Inquisition ini telah diperintahkan oleh Khalifah al-Ma’mun dengan meminta para qadi (scholar-jurists) supaya membuat pengakuan bahawa al-Quran adalah jadian ( created-being). Mereka yang menentang arahan ini telah disingkirkan dari jawatan mereka dan dihukum. Walaubagaimanapun, inquisition ini merupakan satu pukulan yang hebat kepada kuasa otonomi para cendekiawan ulama ( scholar-jurists) dan ianya merupakan suatu manifestasi kepada niat pemerintah untuk menguasai para ulama. Dengan itu, tidak hairanlah jika Imam Ghazzali telah menyatakan bahwa jika ulama ingin hidup bahagia, hendaklah dia menjauhi diri dari pemerintah (dalam erti kata sebenar, pemerintah yang bersifat zalim).
Meskipun Imam Ghazzali telah mengkritik penggunaan ilmu teologi dikalangan orang awam, tetapi beliau tidak sekali-kali meninggalkan kesemuanya, malah beliau menyatakan wujud kebarangkalian sesetengah manusia dapat diyakinkan dengan penggunaan ilmu teologi. Dengan mekanisme ini, beliau telah berupaya mengembangkan bentuk Sufi-amali di dalam lingkungan Syari’ah. Pada masa yang sama juga, beliau juga telah berjaya mempengaruhi ahli Sufi yang lain supaya tidak menjauhi asas teologi. Kritik Al-Ghazzali terhadap fuqaha’ ( scholar jurists ) yang mementingkan lahiriah adalah lebih ketara jika dibandingkan dengan kritikan beliau terhadap al-mutakallimun (ahli teologi). Bagi merapatkan lagi jurang pemisahan ini, Imam Al Ghazzali mengatakan bahawa ilmu ‘Tasawwuf yang sederhana’ harus dipelajari dan diamalkan, bukan sahaja dikalangan cendekiawan ulama malah juga harus diamalkan oleh orang awam melalui syarat-syarat yang tertentu. Dengan ini, perasaan ‘zawq’ dapat dirasai di segenap lapisan masyarkat. Meskipun beliau meletakkan taraf ilmu Tasawwuf lebih tinggi dari ilmu Fiqh, ini bukanlah bererti ianya boleh dipisahkan di antara satu sama lain (intedependent). Disamping itu juga, jurang pemisahan ini juga tidak mampu untuk disolusikan sekiranya ulama terus bergantung kepada pemerintah secular atau zalim, kerana ini membuktikan tidak adanya keupayaan ulama itu sendiri untuk menyelesaikan masalah-masalah semasa secara ilmiahnya yang sesuai dengan tahap keupayaan ilmu mereka melalui jawatan yang ada pada golongan itu. Ini bukanlah ertinya mengimplikasikan ‘penyelesaian’ adalah mustahil, tapi kesukarannya secara luaran dan dalaman memang tidak dapat dinafikan. Wallahua’alam.

0 comments:

Post a Comment


halwa telinga