Sunday, July 24, 2011

UNIVERSITI DAN BUDAYA ILMU




UNIVERSITI. Satu terma yang tidak asing lagi dalam dunia moden pada hari ini. Tidak kira siapa, pastinya mempunyai impian untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan dengan itu, universiti adalah tempat utama bagi melanjutkan pelajaran. Bagi yang berjaya memasukinya, pastinya menetapkan matlamat untuk menggenggam sebuah skrol ijazah bagi jaminan untuk masa hadapan. Universiti secara umum merupakan sebuah institusi intelektual dan berperanan untuk menghasilkan sekelompok manusia yang mempunyai daya fikir yang tinggi melalui latihan dan pratikal yang didasari kepada metodologi yang sebelumnya telah dirangkumkan oleh pemikir-pemikir besar dalam untuk memenuhi ciri-ciri bagi menghasilkan sebuah ‘komuniti yang baik’ (good society). Ya, mungkin inilah tafsiran yang tepat bagi menjustifikasikan apa itu universiti. Namun begitu, tafsiran yang menarik juga didapati mendasari terma universiti ini dan juga secara praktisnya dengan menyatakan bahawa universiti adalah sebenarnya sebuah institusi yang berupaya untuk membentuk dan mewujudkan iklim budaya ilmu selari dengan falsafah dan matlamat pembentukan universiti. Secara ilmiah, tafsiran sebegini lebih mendekati kepada hakikat peranan universiti berdasarkan kepada hakikat sifat ilmu itu sendiri.

Nah, barangkali inilah sebenarnya tujuan utama universiti ditubuhkan, Ya, untuk menjadikan masharakat kearah komuniti yang mempunyai daya fikir yang tinggi serta iklim budaya ilmu yang mampu memikat hati siapa sahaja yang mempunyai sifat ‘mencintai ilmu’.

Universiti sememangnya tidak mampu untuk dipisahkan dengan iklim budaya ilmu. Ternyata ianya memang benar, kerana jika difahami dengan baik peranan sebenar institusi yang dikenali sebagai universiti ini, pastinya setiapa tindakan itu bijak dan saling berkait rapat dengan prinsip budaya ilmu. Prinsip ini selaras dengan agama Islam yang amat mementingkan akan perihal ilmu. Maka dengan itu, universiti seharusnya berperanan dalam mewujudkan iklim budaya ilmu di peringkat kampus. Prof Wan Mohd Nor Wan Daud dalam karyanya Penjelasan Budaya Ilmu juga telah mentafsirkan akan definisi budaya ilmu dengan jelas di mana budaya ilmu antara lainnya adalah kewujudan satu keadaan yang setiap lapisan masharakat melibatkan diri, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Beliau juga tururt memperihalkan bahawasanya budaya ilmu adalah merujuk kepada kewujudan satu keadaan yang segala tindakan manusia baik di tahap indidvidu, apatah lagi di peringkat masharakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan kepada ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahupun keputusan perbincangan (syura). Nah, inilah yang jelas akan prinsip penting yang wujud dalam budaya ilmu. Setiap keputusan yang dilakukan haruslah didasari kepada ilmu pengetahuan dan dalam proses untuk mewujudkan iklim sebegitu rupa, universiti, tempat atau institusi yang berperanan melahirkan sarjana-sarjana pada masa hadapan berusaha untuk memastikan pembentukan bduaya ilmu itu terjadi. Apabila budaya ilmu sudah dibentukkan, makanya ini akan memudahkan proses untuk melahirkan anak muda yang progresif dan dinamik. Ini mampu memberikan satu solusi baru dalam usaha untuk melahirkan generasi yang penuh dengan adab.

Mengapa universiti atau varsiti amat berperanan dalam masharakat sejak dahulu lagi? Hal ini demikian benar kerana universiti adalah tempat manusia cuba mengumpul dan mencari sebanyak ilmu yang mungkin yang prosesnya berlaku dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Di sinilah cendekiawan-cendekiawan berpencak idea sebelum disampaikan kepada masharakat, di sinilah jua idea-idea dikemukakan untuk aplikasinya.

Berdasarkan itu, secara formaliti, universiti adalah salah satu sumber pembentukan budaya ilmu dalam masharakat khususnya masharakat yang mempunyai latarbelakang ilmu yang tinggi yang pernah wujud sebelum ini seperti gemilangnya Tamadun Islam. Mungkin ada benarnya juga kata-kata umum ini, “gemilangnya tamadun itu bukan dari segi tenteranya, ekonominya, politiknya dan kekayaannya, tapi gemilangnya tamadun ini adalah berpunca daripada komunitinya yang berwibawa dalam hierarki ilmu yang menggerakkan proses-proses itu berlaku dengan baik dan lancar”. Namun begitu, katanya seorang ahli falsafah pendidikan negara, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam satu sharahan beliau yang bertajuk ‘The Purpose of Higher Learning Education” A Comparative Perspective’ telah memperihalkan bahawa, keruntuhan tamadun sebenarnya berlaku disebabkan oleh berlakunya proses yang dikenali sebagai ‘pembiadapan’ atau ‘keruntuhan adab’. Beliau menjelaskan bahawa faktor ini jualah yang mendasari kepada keruntuhan tamadun dan dalam masa yang sama menegaskan akan peri pentingnya ilmu dalam memartabatkan kembali masharakat, terutamanya dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan ilmu Tamadun Islam. Inilah pentingnya akan peranan universiti. Universiti adalah agen utama dalam usaha kita untuk mencorakkan kembali keupayaan berfikir di kalangan masharakat terutamanya masharakat kampus yang keluarnya nanti akan menyumbang kebaikan kepada masharakat.

Senario ini juga jelas dapat dilihat di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia yang mana proses pembentukan budaya ilmu itu dapat dilihat dengan adanya iklim budaya ilmu yang baik melalui kewujudan kumpulan-kumpulan diskusi, kekerapan seminar dan juga proses wacana yang berlaku di antara pelajar dengan pelajar dan juga pensyarah dengan pelajar. Ini membolehkan proses penyampaian itu berlangsung dengan baik sama ada secara formal atau informal. Garapan idea yang dihasilkan jua mampu untuk diterjemahkan ke peringkat yang lebih tinggi sehingga mampu dijadikan ia sebuah fikir baru untuk masharakat kelak. Hal ini menyumbang kepada kegemilangan ilmu dalam sesebuah tamadun.

Tamadun yang gemilang adalah utuh dan kukuh dari segi tahap ilmunya dan juga peranan ilmuan mereka yang bijak dalam memberikan solusi terhadap masalah yang ingin diselesaikan. Dan, ini jua berkait rapat dengan peranan institusi pendidikan yang wujud pada era tamadun tersebut.
Sehubungan dengan itu, universiti yang merupakan aktor utama dalam usaha mewujudkan budaya ilmu yang bertujuan untuk memenuhi matlamat sedia ada masharakat. Walhal ini juga termasuklah peranan individu yang mentadbir universiti itu juga. Namun begitu, tanpa hati yang benar-benar yakin dan ikhlas, mustahil untuk diterapkan nila-nilai budaya ilmu, dan kerana itu, hati perlulah benar-benar yakin dan ikhlas. Teringat akan pesanan Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali, ‘ilmu bukan letaknya di kertas, namun ilmu letaknya di dalam hati’. Pencarian ilmu memanglah melalui sumber-sumbernya, namun begitu, hatilah sebenarnya yang membawa kepada pembentukan budaya ilmu.
Ya, universiti, varsiti, inilah yang menentukan gahnya tamadun kita, bukan pihak lain, tapi komuniti kita sendiri, ayuh saudaraku sekalian, kita semaikan bumi UKM ini dengan iklim Budaya Ilmu.
Akhir kata dengan memetik pesanan Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas,

‘Merujuk kepada Allah sebagai asal sebagai ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan ma’na sesuatu ke dalam diri sesorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu’


Takrif Prof Syed Muhmmad Naquib Al-Attas ini jelas amt lengkap dan membayangkan akan peranan Allah S.W.T sebagai sumber sebenar ilmu, serta diri manusia sebagai makhluk yang aktif dalam usaha untuk mendapatkan ilmu. Allah S.W.T adalah Wujud, Yang Maha Mengetahui, yang memberikan makna sesuatu kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Tetapi Allah S.W.T tidak akan memberikan ilmu tanpa sebarang persediaan daripada pihak manusia, maka dengan itu, manusia perlulah melakukan usaha untuk memperolehi makna tersebut, memperoleh ilmu. Dan, setiap agen yang terlibat dalam proses ini, haruslah benar-benar memainkan peranan mereka terutamanya individu dan juga institusi sosial iaitu UNIVERSITI. Dengan ilmu, manusia mampu menjernihkan makna tersirat di jiwa membuahkan kalimah terucap dibicara.

0 comments:

Post a Comment

halwa telinga